Rabu, 23 Januari 2019 | 12:10pm
Tonga menyekat penggunaan media sosial selepas kabel bawah laut mengalami kerosakan. Foto hiasan

Kabel rosak paksa Tonga sekat Facebook, YouTube

NUKU’ALOFA (Tonga): Tonga terpaksa menyekat penggunaan Facebook dan YouTube selepas kabel bawah laut yang menghubung negara di kepulauan Pasifik itu dan Fiji mengalami kerosakan, sekali gus menjejaskan perkhidmatan internet serta telefon.

Menurut pihak berkuasa, usaha untuk membaik pulih kerosakan kabel itu dijangka mengambil masa sehingga dua minggu.

Tonga Cable yang bertanggungjawab menguruskan kabel sepanjang 827 kilometer itu berkata, penggunaan internet terpaksa disediakan mengikut keutamaan sehingga kerja pembaikan tamat.

Katanya, ini menyebabkan laman web media sosial terpaksa disekat buat sementara waktu.

“Sebanyak 80 peratus daripada pengguna antarabangsa kami adalah menerusi media sosial.

“Tetapi kami terpaksa menyekat Facebook, YouTube dan laman web lain untuk seketika, supaya kami boleh memaksimumkan penggunaan jalur lebar dari satelit untuk perkara yang membabitkan kepentingan negara,” kata pengarah Tonga Cable, Paula Piukala kepada Radio New Zealand. - AFP

246 dibaca
Berita Harian X