Jumaat, 21 Disember 2018 | 4:59pm
- Foto AFP

13 maut kebakaran lombong di Republik Czech

PRAGUE: Sekurang-kurangnya 13 pelombong maut, manakala 10 lagi cedera selepas kebakaran yang berpunca daripada pembakaran metana meletup di kawasan lombong di timur Republik Czech, kata seorang jurucakap, hari ini.

“Secara keseluruhan kami mempunyai 13 pelombong, 11 rakyat Poland dan dua lagi Czech,” kata jurucakap syarikat pelombong OKD, Ivo Celechovsky kepada AFP.

Kemalangan itu berlaku di lombong CSM, petang semalam, di bandar Karvina, kira-kira 300 kilometer, timur Prague.

“Letupan yang berlaku di lombong CSM adalah tragedi besar,” tulis Perdana Menteri Czech, Andrej Babis menerusi laman twitter dan beliau bakal melawat tempat kejadian bersama rakan sejawat dari Poland, Mateusz Morawiecki.

Menurut Celechovsky, pelombong Poland yang meninggal dunia adalah pekerja dari syarikat berpangkalan di Alpex Ploland.

“Kita adalah satu keluarga besar, ia adalah tragedi yang buruk,” kata seorang pelombong Czech kepada rangkaian televisyen tempatan, Polar TV.

Media Czech melaporkan, kemalangan itu berlaku pada kedalaman 880 meter dan api masih belum dipadamkan lagi. - AFP

84 dibaca
Berita Harian X