Ahad, 14 Oktober 2018 | 3:32pm
PENYANYI kelahiran New Zealand, Lorde. - Foto Reuters

2 aktivis pilih bantu Palestin, tolak bayar denda

MELBOURNE: Dua orang aktivis rakyat New Zealand, pro-Palestin berjaya mengumpul dana sebanyak AS$9,108.40 (RM37,840.85) untuk amal selepas didenda oleh Mahkamah Israel kerana peranan mereka memujuk penyanyi, Lorde untuk membatalkan konsert di Tel Aviv, tahun lalu.

Justine Sachs dan nadia Abu-Shanab berkata minggu lalu mereka tidak akan membayar denda AS$12,423.05 (RM51,611.56) untuk diserahkan kepada tiga remaja Israel, yang menganggap keputusan mahkamah itu sebagai sesuatu yang ‘mengejutkan’ berniat untuk menarik kritikan rakyat Israel.

Walaupun berdepan tekanan, mereka bertindak sebaliknya dengan meminta orang ramai menyalurkan derma menerusi laman web ‘givealittle.co.nz’ untuk Yayasan Kesihatan Mental Gaza, kumpulan sukarelawan yang mengumpul dana untuk kesihatan mental dan memperkasakan kumpulan wanita di Semenanjung Gaza.

Menurut laman web itu setakat ini mereka sudah berjaya mengumpul RM37,840.85.

“Memandangkan semangat yang ada pada kami, kami merasakan ini adalah satu usaha untuk memusatkan semula tumpuan kepada Palestin,” kata Abu-Shanab kepada Radio New Zealand.

Kes itu berbangkit susulan surat terbuka yang ditulis Sachs dan Abu Shanab kepada penyanyi kelahiran New Zealand, Lorde di laman web ‘thespinoff.co.nz’ pada Disember lalu menggesa agar beliau membatalkan konsertnya.

Susulan itu, Lorde membatalkan konsert beliau di Israel bulan yang sama ketika kumpulan Boycott, Divestment dan Sanctions (BDS) yang berkempen untuk hak Palestin selepas mengambil kira surat terbuka yang dihantar Sachs dan Abu Shanab. - Reuters

Berita Harian X