Rabu, 20 September 2017 | 2:04am
PEMIMPIN Hamas, Ismail Haniya. - Foto AFP

Hamas ulangi kesediaan bersatu dengan Fatah

RAFAH: Pemimpin Hamas, Ismail Haniya mengulangi kesediaan partinya untuk penyatuan Palestin hari ini, sekembalinya dari Mesir ke Semenanjung Gaza.

Ahad lalu, parti Islam yang memerintah Gaza itu mengumumkan, ia bersedia akur dengan siri tuntutan oleh parti lawan, Fatah pimpinan Presiden Mahmud Abbas dan menyokong rancangan untuk pilihan raya baharu.

Ketua konsesi dibantu Mesir itu membubarkan apa yang digelar jawatankuasa pentadbiran, dilihat sebagai kerajaan lawan terhadap pentadbiran diketuai Abbas di Tebing Barat.

"Jawatankuasa pentadbiran di Semenanjung Gaza kini tidak lagi berfungsi. Kami kini bersedia menerima kerajaan penyatuan untuk memasuki Semenanjung Gaza," kata Haniya dalam sidang media di lintasan sempadan Rafah dengan Mesir.

Beliau berkata partinya bersedia kembali ke Mesir untuk rundingan langsung dengan Fatah untuk peringkat seterusnya.

"Kami bersedia kembali ke Kaherah beberapa hari lagi untuk meneruskan dialog," tambah Haniya menegaskan, beliau 'komited terhadap kejayaan' satu penyatuan.

Semalam, Haniya bercakap kali pertama dalam tempoh hampir setahun dengan Abbas dan pihak berkuasa Fatah berkata, mereka menjangka Perdana Menteri Rami Hamdallah melawat Gaza beberapa hari lagi.

Hamas memaksa Fatah keluar dari Gaza dalam perang saudara pada 2007 dan pelbagai cubaan penyatuan berikutnya gagal. -AFP

Berita Harian X