Isnin, 14 Ogos 2017 | 5:19pm
Peter Dutton (tengah).

Australia mansuh undang-undang kerahsiaan

SYDNEY: Australia memansuhkan undang-undang kerahsiaan yang diwujudkan untuk menyekat pembelot daripada membocorkan rahsia mengenai penderaan yang didakwa berlaku di kem tahanan pencari suaka di luar pesisirnya.

Ia langkah yang disifatkan pejuang hak asasi hari ini sebagai kemenangan kepada kebebasan bersuara.

Pencari suaka yang cuba masuk ke Australia dengan bot akan sama ada diarah berpatah balik atau dihantar ke kem-kem di Nauru dan Pulau Manus di Papua New Guinea.

Pejuang hak pelarian dan profesional perubatan sejak sekian lama mengkritik keadaan di kem berkenaan, termasuk nasib beberapa pelarian yang ditahan selama bertahun-tahun.

Peruntukan kerahsiaan yang diperkenalkan pada 2015 itu antara lain menyebut menjadi suatu kesalahan bagi pekerja jabatan imigresen membocorkan maklumat mengenai keadaan di pusat berkenaan.

Bagaimanapun, Menteri Imigresen, Peter Dutton minggu lalu melakukan pindaan ke atas undang-undang yang mengehadkan definisi pendedahan maklumat yang tidak dibenarkan, membabitkan kepentingan nasional atau awam.

Beliau memberitahu parlimen minggu lalu, pindaan terhadap 2015 perlu kerana 'agak ketinggalan berikutan perkembangan persekitaran sempadan yang moden.'

Sebelum ini Canberra dikritik hebat berikutan dasar pencari suaka politiknya, tetapi tegas mempertahankan pendiriannya.

Ia dirasakan perlu untuk menghapuskan pemerdagangan manusia dan menghalang lebih ramai pencari suaka daripada mati di laut. - AFP

11 dibaca
Berita Harian X