Selasa, 3 Disember 2019 | 11:08am
VOLODYMYR Tsemakh.

Russia enggan layan tuntutan Belanda serah suspek MH17

AMSTERDAM: Russia menolak permintaan Belanda supaya menyerahkan suspek dalam kes tembak jatuh penerbangan Malaysia Airlines, MH17, yang melanggar undang-undang Eropah, kata pendakwa raya semalam.

Warga Ukraine, Volodymyr Tsemakh, dikenal pasti sebagai suspek oleh Belanda, yang mengetuai siasatan nahas pada 17 Julai 2014 itu yang mengorbankan semua 298 penumpang dan anak kapal.

Dua pertiga daripada penumpang adalah rakyat Belanda.

MH17 ditembak jatuh di ruang udara di wilayah timur Ukrain yang dikuasai pemberontak pro-Russia ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Penyiasat berkata, peluru berpandu yang menyasarkan pesawat berkenaan dibedil daripada pelancar yang dibawa dari pangkalan tentera Russia di Kursk, cuma di seberang sempadan.

Moscow menafikan sebarang salah laku.

Tsemakh dikehendaki Belanda sebagai suspek, tetapi dia bukan dalam kalangan empat lelaki, tiga warga Russia dan seorang Ukraine, yang akan dibicarakan tanpa kehadiran di mahkamah Belanda Mac ini atas tuduhan membunuh berhubung nahas pesawat itu.

“Perkhidmatan Pendakwaan Awam merumuskan Russia sanggup membenarkan Tsemakh meninggalkan negara itu dan menolak permintaan Belanda.

“Menurut Konvensyen Eropah mengenai Ekstradisi, ia wajib berbuat demikian,” kata perkhidmatan pendakwa raya dalam kenyataan.

Russia tidak mengekstradisi rakyatnya sendiri, tetapi pendakwa Belanda berkata tiada halangan dalam kes ini kerana Tsemakh ialah rakyat Ukraine. — Reuters

Berita Harian X