Khamis, 7 November 2019 | 10:05pm
Pemimpin pembangkang dalam buangan Kemboja, Sam Rainsy, beredar selepas dihalang untuk mendaftar masuk di kaunter pesawat Thai Airways untuk penerbangan dari Paris ke Bangkok di Lapangan Terbang Charles de Gaulle ibu kota Perancis itu hari ini. -Foto Reuters

Pemimpin pembangkang Kemboja dihalang naik pesawat di Paris

PARIS: Pemimpin pembangkang Kemboja dalam buangan, Sam Rainsy dihalang daripada menaiki pesawat ke Thailand di ibu kota Perancis di sini hari ini, untuk perjalanan pulang ke tanah airnya.

“Saya amat terkejut kerana rakyat memerlukan saya di Kemboja,” kata seteru utama Perdana Menteri Kemboja Hun Sen itu kepada media di Lapangan Terbang Charles de Gaulle sejurus selepas seorang ejen di kaunter penerbangan Thai Airways menghalangnya menaiki penerbangan.

Rainsy bercadang menamatkan kehidupan dalam buangan bagi menyambut Hari Kemerdekaan Kemboja Sabtu ini, bertemu pemimpin pembangkang lain di Thailand sebelum menyeberangi sempadan ke Phnom Penh.

Namun Hun Sen, pemimpin kuku besi yang memerintah Kemboja sejak 1985 berikrar untuk tidak membenarkan Rainsy kembali, menahannya jika muncul dan meminta sokongan jiran serantau untuk menghalang rancangan pembangkang.

Awal hari ini, Mu Sochua, timbalan Parti Penyelamat Nasional Kemboja (CNRP) dianggotai Rainsy ditahan di Malaysia ketika cuba terbang pulang untuk menyambut pengasas parti berkenaan.

Rainsy tinggal di Perancis sejak 2015 untuk mengelak dipenjara di Kemboja atas sabitan yang dikatakan bermotif politik.

September lalu, Rainsy dan beberapa pemimpin pembangkang didakwa berkomplot melakukan rampasan kuasa, yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun.

Puluhan aktivis pembangkang ditahan dalam tempoh beberapa minggu kerana didakwa menghasut penggulingan kerajaan menjelang kepulangan Rainsy.

“Saya tidak akan mengalah. Hari-hari Hun Sen kini menghampiri penghujung. Demokrasi akan diwujudkan secepat mungkin, ia adalah tekad dan keyakinan kita,” kata Rainsy ketika menaiki teksi meninggalkan lapangan terbang, menegaskan beliau akan cuba mendapatkan penerbangan alternatif untuk berlepas ke Thailand hari ini. -AFP

Berita Harian X