Ahad, 15 September 2019 | 7:17pm
YULIA Sharko (kiri) maut selepas lehernya cedera parah dikepit tingkap kereta automatik.

Ibu muda maut dikepit tingkap automatik kereta

MINSK (BELARUS) : Seorang ibu muda meninggal dunia pada hari lahir yang ke-21 selepas lehernya cedera parah dikepit tingkap kereta automatik.

Yulia Sharko sedang menarik keluar anak perempuannya, berusia dua tahun dari kenderaan berkenaan, melalui tingkap yang separuh terbuka ketika kejadian.

Menurut laporan pihak berkuasa, kanak-kanak itu secara tidak sengaja tertekan suis automatik menyebabkan tingkap kereta BMW berkenaan tertutup dan mengepit leher ibunya.

Suami Yulia, Arthur menemui isterinya dalam keadaan tidak sedarkan diri sejurus selepas kejadian.

Beliau bertindak memecahkan tingkap itu untuk menyelamatkan isterinya dalam kejadian di perkampungan Staroe Selo, barat daya Belarus.

Yulia yang berasal dari Zabinka bagaimanapun menghembuskan nafas terakhir lapan hari selepas insiden tragik itu susulan kerosakan otak akibat asfiksia.

“Otak mendiang cedera parah akibat arteri yang tersepit semasa kejadian,” kata laporan media tempatan.

Beliau berada dalam koma selepas kejadian itu, yang berlaku pada hari mendiang menyambut hari lahir ke-21 bersama rakan-rakannya.

Pasangan Yulia dan Arthur memiliki dua anak perempuan, Margarita dan Arianna. - Agensi

Berita Harian X