Selasa, 10 September 2019 | 8:41am
Mya-Lecia Naylor. - Foto AFP

Kematian aktres remaja akibat bunuh diri - Koroner

LONDON : Kematian bintang televisyen remaja, Mya-Lecia Naylor pada usia 16 tahun disahkan akibat membunuh diri, kata koroner hari ini.

Aktres CBBC itu dibawa ke hospital selepas ditemui ibunya, Zena Beggs, 46 dalam sebuah khemah di kediaman mereka di South Norwod, Selatan London namun diisytiharkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Mya-Lecia yang meninggal dunia pada 7 April lalu dijadualkan menduduki peperiksaan GCSE pada musim panas tahun ini namun ibu bapanya dimaklumkan oleh pihak sekolah menerusi panggilan telefon bahawa gred remaja terbabit lebih rendah dari diharapkan.

Susulan laporan, mendiang dikenakan larangan keluar rumah atau menghadiri parti malah malam sebelum meninggal dunia, anak gadis itu sempat menonton filem bersama keluarganya yang turut memaparkan satu adegan bunuh diri.

Mya-Lecia adalah antara barisan pelakon yang membintangi rangkaian kanak-kanak, Almost Never bersama Emily Attack, Fleur East dan Tess Daly.

Model remaja pujaan ramai itu turut membawa watak Fran dalam siri terbitan CBBC, Millie Inbetween, mengisahkan seorang budak perempuan yang terpaksa berdepan perceraian kedua ibu bapanya.

Mendiang juga muncul dalam filem terbitan 2012 bersama aktor Tom Hanks menerusi filem Cloud Atlas, membawa watak sebagai Nero dan aktres Jennifer Saunders untuk komedi Absolutely Fabulous pada 2004.

Bapa remaja itu, Martin Naylor memberitahu Mahkamah Koroner Selatan London bahawa anaknya berkelakuan agak aneh kerana tertekan dengan peperiksaan.

Tinjauan penyiasat ke atas kandungan laman sosial Mya-Lecia pula tidak menemui sebarang perkara mencurigakan, petunjuk bahawa beliau bercadang untuk membunuh diri atau berada dalam tekanan. - Agensi

7664 dibaca
Berita Harian X