Selasa, 13 Ogos 2019 | 2:55pm
Anggota bomba berjaya mengawal kebakaran daripada memusnahkan pulau peranginan Gran Canaria. - Foto AFP

Kebakaran Pulau Canary berjaya dikawal

MADRID: Anggota bomba berjaya mengawal kebakaran daripada memusnahkan pulau peranginan Gran Canaria yang memaksa perpindahan ratusan penduduk, kata pihak berkuasa semalam.

“Usaha mengawal kebakaran ini membuahkan hasil dan ia dianggap sebagai berjaya,” kata presiden kerajaan serantau Pulau Canary, Victor Torres dalam satu sidang media semalam.

Bagaimanapun, perkhidmatan kecemasan kepulauan itu memberi amaran bahawa angin kencang dan suhu panas berpanjangan boleh menyebabkan kebakaran lain tercetus.

“Semua tenaga sudah diarah bersiap sedia dan 230 anggota akan meneruskan usaha memadamkan kebakaran pada waktu malam,” kata jabatan berkenaan menerusi satu hantaran di Twitter.

Kebakaran itu merebak sejauh 23 kilometer sejak bermula Sabtu lalu di bahagian barat perbandaran Artenara berhampiran ibu negeri wilayah Las Palmas.

Ia membabitkan 250 anggota bomba dan tentera.

Sejumlah 12 pesawat pemadam api milik bomba dan helikopter turut dikerah membantu mengawal api yang sehingga kini sudah memusnahkan kira-kira 1,500 hektar kawasan.

Hampir 1,000 penduduk dipindahkan hujung minggu lalu tetapi ramai sudah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing semalam dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan. - AFP

Berita Harian X