Jumaat, 12 Julai 2019 | 2:21am
BEKAS ketua eksekutif France Telecom, Didier Lombard. - Foto AFP

Pengurus paksa pekerja letak jawatan bakal dipenjara

PARIS: Perbicaraan beberapa bekas pengurus di syarikat France Telecom berhubung banyak kes bunuh diri tamat, semalam, dengan semua defendan bakal dipenjara sehingga setahun.

Dalam tempoh antara 2008 hingga 2009, 35 kakitangan syarikat gergasi pernah dimiliki kerajaan itu yang kini dinamakan sebagai Orange membunuh diri, ketika penstrukturan semula dengan pengurusan cuba mengurangkan satu per lima jumlah pekerja.

Bekas ketua eksekutifnya, Didier Lombard dan enam eksekutif kanan lain berdepan tuduhan mewujudkan ‘sistem tekanan’ bertujuan memaksa pekerja meletak jawatan.

Pendakwa raya memohon supaya Lombard dan dua bekas eksekutif kanan lain dipenjara setahun dan dikenakan denda 15,000 euro (RM69,796), jika didapati bersalah atas tuduhan gangguan moral.

Syarikat Orange sendiri juga berdepan tuduhan ganggu moral dan pendakwa raya memohon supaya ia dikenakan denda sebanyak 75,000 euro (RM348,983).

Difahamkan, mahkamah akan menangguhkan perbicaraan untuk memberikan keputusan pada 20 Disember depan.

Siasatan terhadap kes itu menumpukan kes 39 pekerja. Daripada jumlah itu, 19 membunuh diri, 12 cuba membunuh diri dan lapan mengalami tekanan akut atau diberhentikan bekerja akibat masalah mental. - AFP

1178 dibaca
Berita Harian X