Sabtu, 18 Mei 2019 | 11:36am
- Foto Hiasan

Senat Perancis sokong larang ibu bertudung iringi anak

PARIS: Senat Perancis mengundi melarang ibu bertudung daripada mengiringi anak mereka dalam lawatan sekolah, tindakan terbaru negara itu menentang pemakaian melambangkan Islam.

Pengharaman itu, yang dicadangkan parti Republican, berdasarkan larangan sedia ada pemakaian seumpama itu di sekolah rendah dan menengah.

Senator Republican, Jacqueline Eustache-Brinio, berkata, pindaan itu akan menampung kekosongan dalam larangan sedia ada dan menutup ‘ruang perundangan bagi memenuhi kehendak prinsip sekular ketika lawatan lapangan’.

Undang-undang itu, ditolak oleh Dewan Rakyat, tetapi diluluskan Dewan Negara dengan 186 undi menyokong berbanding cuma 100 membantah, dengan 159 senator berkecuali.

Teks larangan itu secara teknikal meliputi simbol agama jelas tetapi ia paling menjejaskan ibu bapa Islam.

Republican sendiri dalam kenyataan menggambarkan ia adalah peraturan yang melarang pemakaian tudung ketika lawatan sekolah.

Kerajaan Perancis sendiri menentang rancangan itu dan berharap ia tidak diluluskan dengan sokongan ahli Parlimen parti pemerintah.

Menteri Pendidikan, Jean-Michel Blanquer, berkata rang itu bertentangan dengan keputusan Majlis Negara dan mencetuskan lebih banyak masalah dalam perkembangan lawatan sekolah.

Beliau, bagaimanapun menghormati pihak yang menyokong rang itu. — Agensi

603 dibaca
Berita Harian X