Jumaat, 17 Mei 2019 | 9:23am
Duchess of Sussex, Puteri Meghan Markle.

Dua rakan karib bersuara pertahan Meghan Markle

LOS ANGELES : Dua rakan karib Duchess of Sussex akhirnya bersuara mempertahankan bekas pelakon itu dari gelombang publisiti negatif yang disebarkan media British dan platform media sosial.

Rakan lama yang juga jurusolek artis, Daniel Martin turut dilihat mengalirkan air mata ketika bercakap mengenai isteri Putera Harry itu.

“Saya tahu beliau tidak berhak menerima semua laporan negatif ini,” kata Martin dalam satu wawancara bersama televisyen CBS di Amerika Syarikat yang akan disiarkan hari ini.

Kurang daripada setahun selepas mengahwini Putera Harry pada Mei 2018, Meghan Markle diberi jolokan ‘Duchess Difficult’ oleh beberapa akhbar British, diikuti beberapa laporan lain yang mendakwa Meghan tidak sebulu dengan keluarga Diraja, malah turut terbabit dalam pergeseran bersama suaminya. Putera William dan Kate Middleton.

“Apa yang lebih mengecewakan adalah anda mendengar semua cerita ini dan tiada kebenaran pada semuanya.

“Ia bukan orang yang sama. Selama lima tahun saya mengenali beliau dan bekerja bersama, Meghan tidak pernah berkelakuan seperti seorang diva. Tidak pernah sama sekali,” kata Martin.

Istana Buckingham dan keluarga Diraja jarang bersuara menepis sebarang laporan buruk berkaitan diri mereka.

Bagaimanapun istana pada Mac lalu, meminta kerjasama media sosial untuk bertimbang rasa dan memberi amaran, tindakan polis akan diambil berikutan peningkatan dalam komen berbentuk penghinaan, lazimnya ditujukan kepada Meghan atau Kate.

Aktres Amerika, Janina Gavankar yang turut menghadiri majlis menyambut bayi Meghan di New York pada Februari berkata, isteri Putera Harry itu beliau mengelak dari membaca semua laporan media.

“Beliau tidak membaca semua laporan sama ada baik atau buruk. Beliau tahu bahawa kehidupan tidak boleh dilihat hanya bersandarkan kepada tajuk berita atau perkara ditulis orang lain,” kata Cavankar kepada CBS. - Reuters

1062 dibaca
Berita Harian X