Jumaat, 17 Mei 2019 | 9:09am
Dr Frederick Pechie dituduh meracun pesakitnya ketika pembedahan.

Pakar bius Perancis dituduh bunuh 9 pesakit

STRASBOURG: Pakar bius di bandar raya Besancon di timur Perancis disyaki meracun pesakitnya ketika pembedahan bagi menyebabkan kegagalan jantung dan kemudian berusaha menyedarkan mereka semula.

Dalam sembilan kejadian seumpama itu, pendakwa raya mendakwa beliau gagal dan menyebabkan kematian.

Majistret yang menyiasat mendapati bukti mengaitkan Dr Frederick Pechier dengan 24 daripada 66 kes disyaki yang berlaku ketika prosiding pembedahan di kliniknya, kata pendakwa raya Besancon, Ettienne Mantaeaux, kepada wartawan semalam.

Manteaux berkata, Pechier disyaki menyuntik dos tinggi potassium klorida atau ubat bius ketika pembedahan.

Beliau menafikan sebarang salah laku tetapi pendakwaan meminta Dr Pechier ditahan menjelang perbicaraan, yang menyaksikan beliau akan berhadapan hukuman penjara seumur hidup.

“Dakwaan berdasarkan bukti konkrit,” kata Manteaux, menyedari kes itu berdasarkan bukti keadaan kerana beliau tidak ditangkap ketika melakukan kesalahan itu.

Pechier ‘berada di mana-mana’ dalam mengendalikan usaha menyedarkan semula pesakit selepas disyaki mengalami kegagalan jantung dan rakannya mendapati beliau bertindak cepat dalam mendiagnos kadar dos bius yang tinggi.

Katanya, Pechier satu-satunya doktor yang ada ketika kejadian yang menyaksikan kesan racun ditemui atau apabila kejadian dos berlebihan didiagnos. — Reuters

200 dibaca
Berita Harian X