Khamis, 16 Mei 2019 | 6:58pm
Putera Harry dan isterinya, Meghan Markle. Foto Agensi

Putera Harry terima ganti rugi, permohonan maaf

LONDON: Putera Harry dilaporkan menerima sejumlah bayaran ganti rugi dan permohonan maaf daripada Splash News (Splash) dan Picture Agency, kerana mengambil gambar kediaman milik Duke of Sussex itu.

Berita itu diumumkan menerusi Istana Buckingham, semalam.

Peguam Harry berkata, Splash menempah sebuah helikopter pada 9 Januari lalu bagi merakamkan gambar dan video kediaman peribadi milik Harry dan isterinya, Meghan, iaitu bekas aktres Amerika Syarikat di Oxfordshire, tengah England.

“Kaedah penyiaran dan penerbitan kesemua gambar itu amat serius kerana ia menjejaskan keselamatan Duke (of Sussex) dan kediaman itu hingga mengakibatkan mereka tidak boleh lagi tinggal di hartanah itu.

“Hartanah itu menjadi pilihan Duke (of Sussex) dan isterinya, kerana ia memiliki tahap privasi yang tinggi, berikutan kedudukannya di kawasan terpencil dan dikelilingi ladang milik orang persendirian, menyebabkan ia sukar diakses mana-mana jurugambar,” kata peguam Harry dalam satu kenyataan di mahkamah. - Reuters

1015 dibaca
Berita Harian X