Rabu, 15 Mei 2019 | 8:46pm
CAHAYA biru dalam lampu LED boleh merosakkan retina mata dan mengganggu ritma tidur. - Foto Primal Herb

Lampu LED merosakkan mata - agensi kesihatan Perancis

MAISONS-ALFORT: Cahaya biru dalam lampu LED boleh merosakkan retina mata dan mengganggu ritma tidur semula jadi, kata badan pemantau kesihatan kerajaan Perancis, minggu ini.

“Penemuan baharu mengesahkan kebimbangan terdahulu bahawa pendedahan terhadap cahaya kuat adalah toksik foto dan boleh membawa kepada kematian sel retina yang tidak boleh dipulihkan.

“Ia juga serta penyusutan ketajaman penglihatan,” menurut kenyataan amaran Agensi untuk Makanan, Alam Sekitar serta Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (ANSES) Perancis.

Dalam laporan setebal 400 muka surat itu, agensi terbabit mencadangkan had maksimum pendedahan akut dikaji semula walaupun paras berkenaan jarang dipatuhi dalam suasana kediaman atau tempat kerja.

Laporan itu membandingkan pendedahan akut lampu LED intensiti tinggi dengan pendedahan kronik terhadap sumber intensiti rendah.

Walaupun kurang berbahaya, pendedahan kronik sahaja pun boleh mempercepatkan penuaan tisu retina membawa kepada penyusutan aktiviti visual dan penyakit penyusutan tertentu seperti penyusutan makular yang dikaitkan dengan dunia, kata agensi itu.

Teknologi LED yang tahan lama, jimat tenaga dan murah sudah menguasai separuh pasaran lampu umum sejak sedekad dan akan mencecah 60 peratus menjelang akhir tahun depan, menurut unjuran industri.

LED hanya menggunakan satu per lima elektrik diperlukan berbanding lampu pendaflor dengan tahap keterangan cahaya sama. Pengeluar utama LED dunia termasuk GE Lighting, Osram dan Philips.

Teknologi asas pembuatan cahaya putih menggabungkan LED gelombang singkat seperti biru dan ultraungu dengan saduran fosfur kuning. Semakin putih atau sejuk cahaya, semakin banyak bahagian biru dalam spektrum cahaya. - AFP

610 dibaca
Berita Harian X