Rabu, 15 Mei 2019 | 5:01pm
Presiden INTERPOL, Meng Hongwei ketika melawat ibu pejabat Pertubuhan Polis Antarabangsa di Lyon, Perancis pada Mei tahun lalu. Foto Reuters

Perancis beri suaka kepada isteri bekas ketua INTERPOL

PARIS: Isteri bekas ketua Polis Antarabangsa (INTERPOL), Meng Hongwei, iaitu Grace Meng sudah menerima perlindungan suaka di Perancis.

Berita itu diumumkan oleh peguam beliau.

INTERPOL, iaitu agensi penyelaras polis global yang berpangkalan di Perancis pada Oktober lalu mengumumkan peletakan jawatan Meng, beberapa hari selepas isterinya, Grace melaporkan kehilangannya.

Meng dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan pulang ke China.

Baru-baru ini, pendakwa raya China memfailkan pertuduhan rasmi terhadap Meng, dan mendakwa beliau menyalahguna kuasa serta mengambil rasuah.

Pada Mac lalu, parti pemerintah China, Parti Komunis berkata, hasil siasatan yang dijalankan ke atas Meng, mendapati beliau membelanjakan sejumlah besar dana negara.

Meng juga didakwa menyalahguna kuasa yang dimilikinya dan enggan mengikut keputusan yang ditetapkan oleh parti.

Bagaimanapun, isterinya menyangkal tuduhan itu dan berkata penahanan suaminya adalah bermotifkan politik.

Sementara itu, Meng dilantik sebagai presiden INTERPOL pada akhir 2016, ketika China berusaha meningkatkan pengaruhnya menerusi jawatan tertinggi di beberapa pertubuhan antarabangsa.

Namun, pelantikannya mencetuskan kebimbangan daripada kumpulan hak asasi, mengenai kemungkinan Beijing sudah menggunakan pengaruhnya untuk menahan pembangkang yang berada di luar negara. - Reuters

154 dibaca
Berita Harian X