Rabu, 15 Mei 2019 | 10:00am
Walaupun usia adalah faktor paling kukuh untuk penurunan kognitif, demensia bukan secara semula jadi muncul akibat berusia. -Foto Agensi

WHO keluarkan nasihat pertama isu demensia - bersenam, jangan merokok

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menerbitkan peraturan pertama berhubung pencegahan dan pengurusan penyakit demensia atau nyanyuk semalam, meletakkan aktiviti fizikal di tempat teratas senarai cadangan menghalang penurunan kemahiran kognitif.

Laporan WHO bertajuk, ‘Pengurangan risiko penurunan kognitif dan demensia’ antara lain mencadangkan supaya individu berisiko berhenti merokok, mengamalkan diet sihat dan mengelak pengambilan arak yang menjejaskan.

Rawatan untuk hipertensi, kolesterol tinggi dan diabetes juga menurunkan risiko, kata laporan.

Seorang pakar WHO, Neerja Chowdhary berkata, kajian itu tidak meneliti pengambilan ganja dalam rokok serta tidak memasukkan faktor alam sekitar walaupun ada bukti hubungan dengan pencemaran dan sedikit bukti dikaitkan tidak cukup tidur.

Beliau berkata, vitamin dan makanan tambahan tidak berguna dan mungkin membawa keburukan jika diambil dalam dos tinggi.

Namun kurang bukti jika latihan kognitif atau aktiviti sosial akan melambatkan permulaan demensia dan tidak cukup bukti ubatan anti-kemurungan atau bantuan pendengaran dapat membantu.

Demensia menjejaskan kira-kira 50 juta orang secara global dengan hampir 10 juta kes baharu setiap tahun, angka yang dijangka meningkat tiga kali ganda menjelang 2050, sementara kos menjaga pesakit nyanyuk itu dijangka mencecah AS$2 trilion (RM8.35 trilion) menjelang 2030, kata Penolong Ketua Pengarah WHO, Ren Minghui menulis dalam laporan.

“Ketika tiada rawatan mengubati demensia, pengurusan proaktif faktor risiko boleh diubah untuk melambatkan atau memperlahankan perkembangan penyakit itu.

“Walaupun banyak faktor risiko demensia dikongsi dengan penyakit tidak berjangkit, cadangan utama secara berkesan boleh diterapkan dalam program pemberhentian tembakau, pengurangan risiko penyakit kardiovaskular dan nutrisi,” tulis Minghui.

Laporan berkata, walaupun usia adalah faktor paling kukuh untuk penurunan kognitif, demensia bukan secara semula jadi muncul akibat berusia.

“Sejak dua dekad lalu, beberapa kajian menunjukkan hubungan antara perkembangan kecacatan kognitif dan demensia dengan pencapaian pendidikan dan faktor risiko berkaitan gaya hidup seperti aktiviti fizikal, penggunaan tembakau, diet tidak sihat dan penggunaan alkohol menjejaskan,” katanya. -Reuters

204 dibaca
Berita Harian X