Rabu, 15 Mei 2019 | 7:10am
Misi pencarian fakta PBB berkaitan situasi di Myanmar diketuai Marzuki (tengah) menggesa masyarakat antarabangsa memutuskan semua sumber kewangan dan sokongan lain kepada tentera negara itu bagi membendung keganasan ke atas etnik minoriti negara itu. -Foto Agensi

Pakar PBB gesa sekat bantuan kewangan, dakwa komander junta Myanmar

GENEVA: Penyiasat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata semalam, komander tentera Myanmar seharusnya ‘dipencilkan’ dari segi kewangan dan dihadapkan ke mahkamah untuk berdepan tuduhan jenayah perang dan genosid ke atas minoriti Rohingya.

Misi pencarian fakta PBB berkaitan situasi di Myanmar menggesa masyarakat antarabangsa memutuskan semua sumber kewangan dan sokongan lain kepada tentera negara itu.

Marzuki Darusman, yang mengetuai misi pencarian fakta dan merumuskan kunjungan 10 hari ke negara sekitar berkata, langkah drastik diperlukan oleh kerana Myanmar setakat ini hanya melakukan sedikit bagi menyelesaikan situasi pelanggaran hak asasi sewenang-wenangnya di negara itu.

“Tiada perkembangan ke arah penyelesaian krisis. Situasi itu tidak berubah,” kata Marzuki dalam satu kenyataan.

Kira-kira 740,000 pelarian Rohingya lari daripada tindakan keras tentera pada Ogos 2017 ke Bangladesh di mana 300,000 anggota minoriti Islam itu sudah tinggal di kem terbabit. Ramai mengadu dirogol dan dibunuh sebelum perkampungan mereka dibakar dalam laporan diterbitkan September lalu oleh misi itu yang berkata, ada alasan wajar pembunuhan itu bersamaan genosid.


Pelarian Rohingya beratur untuk mendapatkan bekalan bantuan di kem pelarian Kutupalong di Cox's Bazar, Bangladesh. -Foto Reuters

Penyiasat membuat kecaman semalam, kedua-dua pihak tentera dan awam kerajaan Myanmar secara berterusan menafikan hakikat itu dan menolak bertanggungjawab atas jenayah mengikut undang-undang antarabangsa.

“Susulan keganasan ini, pihak berkuasa Myanmar meratakan perkampungan kosong Rohingya dengan jentolak, secara berkesan memusnahkan bukti jenayah, sambil tidak membuat perkembangan meyakinkan bagi menyelesaikan permusuhan etnik yang membantu memburukkan krisis,” kata mereka.

Misi pencari fakta PBB itu tidak diberi akses ke Myanmar, namun ketika lawatan ke Bangladesh, Malaysia, Thailand dan Indonesia, penyiasat bertemu wakil dalam buangan dari komuniti etnik Chin, Kachin, Shan dan Rakhine.

“Bertemu komuniti etnik berbeza hanya menguatkan lagi penemuan bahawa Tatmadaw (tentera Myanmar) secara berterusan melakukan pembunuhan sama ke atas ramai kumpulan etnik yang tinggal di sempadan Myanmar,” kata pakar PBB Radhika Coomaraswamy dalam satu kenyataan.


Tatmadaw (tentera Myanmar) secara berterusan melakukan pembunuhan sama ke atas ramai kumpulan etnik yang tinggal di sempadan Myanmar. -Foto Agensi

Seorang lagi anggota pasukan itu, Christopher Sidoti, berkata, penyiasat setakat ini ‘tidak menemui bukti kerajaan Myanmar bertindak secara baik menyelesaikan krisis atau membantu kepulangan selamat pelarian.

“Situasi ini memerlukan tekanan meningkat antarabangsa. Berikutan tahap pelanggaran masa lalu dan berterusan, perhatian perlu diberi terhadap hubungan politik, ekonomi dan kewangan tentera Myanmar, bagi mengenal pasti siapa dan apa perlu disasar supaya kami boleh memutuskan bantuan wang sebagai cara meningkatkan tekanan dan mengurangkan keganasan,” katanya/

Misi pencarian fakta itu dijangka membentangkan laporan akhirnya kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC) di sini September depan dan menyerahkan penemuannya kepada panel ditugaskan menyiapkan pendakwaan jenayah. -AFP

210 dibaca
Berita Harian X