Selasa, 14 Mei 2019 | 4:15pm
Huawei mendakwa Kerajaan China tidak mempunyai kawalan ke atas syarikat itu. Foto Agensi

Kerajaan China tiada kuasa ke atas Huawei

LONDON: Huawei adalah syarikat swasta dan ia tidak dikawal oleh Kerajaan China, malah tidak akan menyerahkan sebarang maklumat kepada Beijing, walaupun terdapat permohonan untuk mereka berbuat demikian.

Perkara itu dinyatakan oleh Naib Presiden bagi Eropah Barat firma itu, Tim Watkins kepada radio BBC, hari ini.

Terdahulu, Amerika Syarikat meminta negara sekutunya supaya tidak menggunakan teknologi Huawei untuk membina rangkaian teknologi baharu 5G.

Ia berikutan kebimbangan bahawa ia boleh menjadi salah satu cara bagi negara China menjalankan aktiviti pengintipan, namun dakwaan itu disangkal syarikat itu.

“Huawei tidak mempunyai kewajipan untuk bekerjasama dengan kerajaan seperti yang didakwa oleh Amerika Syarikat.

“Malah, tiada mandat mengikut undang-undang (perisikan kebangsaan China) yang memerlukan kami menyerahkan data mengenai pelanggan atau maklumat perisikan atau sesuatu yang dianggap sensitif,” kata Watkins kepada radio BBC.

Watkins turut memberi jaminan bahawa kod yang digunakan di dalam semua produk mereka adalah selamat dan terkawal. - Reuters

364 dibaca
Berita Harian X