Selasa, 16 April 2019 | 8:19am
Hartawan Perancis, Francois-Henri Pinault. - Foto AFP

Hartawan Perancis, Pinault janji sumbang RM465 juta baik pulih Notre-Dame

PARIS: Hartawan Perancis, Francois-Henri Pinault semalam berjanji menyalurkan 100 juta euro (RM465 juta) untuk pembinaan semula gereja besar Notre-Dame di Paris, yang musnah sebahagiannya akibat kebakaran malam semalam.

Dalam satu kenyataan yang dihantar kepada AFP, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kering, yang turut memiliki Gucci dan Yves Saint Laurent, berkata sumbangan ke arah usaha yang diperlukan untuk membina semula Notre-Dame itu akan dibayar oleh firma pelaburan keluarga Pinault, Artemis.

Kebakaran yang bermula awal malam semalam itu memusnahkan bumbung ikonik gereja besar berusia lapan abad itu sebaik api mula merebak ke puncak menara.

Namun, difahamkan banyak lagi karya seni dan artifak tidak ternilai harganya masih berada di dalam gereja besar terbabit.

Sumber polis berkata, siasatan awal mendapati kebakaran tercetus secara tidak sengaja. - AFP

686 dibaca
Berita Harian X