Ahad, 14 April 2019 | 10:03am
Dr Jan Karbaat, yang meninggal dunia pada 2017, dilaporkan menjadi bapa kepada kira-kira 60 kanak-kanak selepas wanita mengunjungi kliniknya di Rotterdam di mana beliau menggunakan spermanya sendiri berbanding penderma dipilih untuk disenyawakan. -Foto Agensi

Doktor Belanda jadi bapa 49 anak dalam skandal IVF

THE HAGUE: Seorang doktor Belanda yang menjadi tumpuan dalam skandal teknik persenyawaan in-vitro (IVF) menjadi bapa kepada sekurang-kurangnya 49 kanak-kanak, kata pertubuhan mewakili ibu bapa dan anak menggunakan klinik miliknya yang sudah ditutup.

Dr Jan Karbaat, yang meninggal dunia pada 2017, adalah bapa kepada 49 anak lahir selepas wanita mengunjungi kliniknya di Rotterdam di mana beliau menggunakan spermanya sendiri berbanding penderma dipilih untuk disenyawakan, kata pertubuhan Defence for Children.

“Keputusan ujian DNA dijalankan kelmarin di sebuah hospital di bandar tenggara Nijmegen menunjukkan 49 kanak-kanak dalam kes itu adalah waris langsung mendiang Karbaat.

“Keputusan mengesahkan perasaan curiga bahawa Karbaat menggunakan spermanya sendiri di klinik miliknya,” kata pertubuhan itu dalam satu kenyataan.

Kes kontroversi itu didedahkan kepada khalayak ramai selepas sebuah mahkamah Belanda memutuskan pada Februari lalu, keputusan ujian DNA Karbaat perlu didedahkan kepada ibu bapa dan anak untuk dibandingkan.

Sebelum kematiannya pada usia 89 tahun, Karbaat dilaporkan mengakui menjadi bapa kepada kira-kira 60 kanak-kanak di klinik miliknya yang ditutup pada 2009 berikutan laporan berlaku penyelewengan.

Karbaat kemudian mengakui mencampurkan sperma daripada pelbagai penderma dan mengeluarkan dokumentasi palsu penderma, lapor akhbar harian Belanda, NRC.

Kumpulan yang mengesyaki mereka adalah ‘anak-anak Karbaat’ menyeret keluarga doktor itu ke mahkamah untuk memaksa mereka mendedahkan profil DNA Karbaat, yang disimpan dalam peti besi.

Peguam keluarga Karbaat mempertahankan supaya hak privasi anak guam mereka dihormati.

“Bagaimanapun, berikutan hakim bersetuju terhadap ujian paterniti, hakim meletakkan keutamaan hak anak-anak berbanding Karbaat dan keluarganya.

“Kini selepas bertahun ketidaktentuan, plaintif akhirnya menutup tirai dan mula menerima hakikat mereka adalah antara ramai waris Karbaat,” kata penasihat Defence for Children, Iara de Witte.

Seorang daripada kanak-kanak itu, Eric Lever baru-baru ini memberitahu akhbar NRC, beliau tidak marahkan Karbaat.

“Saya hanya tidak dapat menerima beliau menipu ibu saya. Ibu saya benar-benar mahukan anak kerana gagal mendapatkan anak dengan bapa sebenar saya,” katanya kepada akhbar.

Defence for Children menambah, kemungkinan Karbaat menjadi bapa kepada lebih 49 kanak-kanak yang didedahkan kelmarin.

“Sperma milik mendiang doktor itu juga diagihkan kepada klinik lain,” agensi berita ANP memetik pertubuhan itu sebagai berkata. -AFP

1234 dibaca
Berita Harian X