Selasa, 12 Februari 2019 | 9:42am
Michael Salonen dipenjara kerana didakwa menghantar sepucuk surat mengandungi serbuk putih dan mengugut 21 anggota kerajaan Sweden termasuk Perdana Menteri Stefan Lofven pada 2017 serta bungkusan mengandungi bom. -Foto hiasan

Lelaki Sweden dipenjara ugut menteri, hantar bungkusan bom

STOCKHOLM: Seorang lelaki Sweden dihukum penjara lapan tahun semalam kerana menghantar surat ugutan kepada menteri kerajaan dan bungkusan mengandungi bahan letupan kepada sebuah syarikat Britain.

Michael Salonen, 43, ditahan di Thailand pada April tahun lalu dan mendakwa dirinya tidak bersalah.

Namun mahkamah mendapati, pada 2017, dia menghantar sepucuk surat mengandungi serbuk putih dan mengugut 21 anggota kerajaan Sweden termasuk Perdana Menteri Stefan Lofven serta pegawai dan personaliti tempatan.


Stefan Lofven

Serbuk putih itu sebenarnya tidak berbahaya, namun tindakan Salonen bertujuan ‘menyebarkan ketakutkan’ dan ‘meletakkan masyarakat tertekan,’ kata mahkamah rayuan di sini dalam keputusannya.

Pada musim panas 2017, dia menghantar bungkusan mengandungi bahan letupan ke sebuah syarikat jualan bitcoin di London.

Bungkusan itu tidak meletup apabila dibuka namun ‘bertujuan membunuh atau menyebabkan kecederaan tubuh serius,’ kata mahkamah mengekalkan sabitan atas cubaan membunuh ke atas Salonen.

Ahli politik Sweden mendakwa menjadi sasaran meningkat ancaman dan penghinaan di media sosial.

Pada September 2003, Menteri Luar, Anna Lindh, yang melakukan perjalanan tanpa pengiring ditikam sehingga mati di sebuah pusat beli belah di sini oleh warga tempatan kelahiran Serbia dengan sejarah masalah mental.

Perdana Menteri Olof Palme ditembak mati di sini pada 1986 ketika berjalan keluar dari pawagam bersama isterinya, selepas membuat keputusan pergi tanpa pengawal keselamatan. -AFP

44 dibaca
Berita Harian X