Selasa, 12 Februari 2019 | 7:36am
Seorang lelaki yang mengenalkan dirinya sebagai pemuisi dan pemuzik Uighur, Abdurehim Heyit dalam imej pegun diambil daripada video dihantar dalam talian oleh CRI, 10 Februari lalu. -Foto Reuters

China tolak kritikan Turki, nafi pemuisi Uighur maut

BEIJING: China membalas kritikan Turki semalam berhubung layanannya terhadap etnik Uighur dan menafikan tuduhan Ankara bahawa seorang pemuisi terkenal minoriti itu meninggal dunia dalam tahanan, menyifatkannya sebagai ‘pembohongan tidak masuk akal.’

Kementerian Luar Turki mengeluarkan satu kenyataan Sabtu lalu, mengkritik keras penahanan besar-besaran etnik Uighur oleh China yang bertutur bahasa negara itu serta mendakwa, pemuisi dikenali Abdurehim Heyit maut selepas ditahan lapan tahun dalam penjara China yang dilaksanakan sebagai hukuman terhadap ‘satu daripada lagu dendangannya.’

Namun China kelmarin mengeluarkan satu video menunjukkan seorang lelaki yang mengenalkan dirinya sebagai Heyit, mengatakan dirinya masih hidup dan dalam keadaan baik.

“China membuat bantahan serius terhadap Turki. Kami berharap individu relevan Turki dapat membezakan antara yang betul dan salah serta memperbetulkan kesilapan mereka,” kata jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying ketika taklimat harian media.

Beliau menggelar kenyataan Turki ‘berniat jahat’ dan menggesa Ankara menarik balik ‘tuduhan palsu.’

“Saya melihat video dalam talian beliau (Heyit) semalam, menunjukkan bukan sahaja beliau masih hidup namun dalam keadaan sihat,” katanya.

Satu panel pakar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata, hampir sejuta etnik Uighur dan minoriti yang bertutur dalam bahasa Turki lain diheret ke dalam ‘kem pendidikan semula’ di rantau barat laut China di Xinjiang, di mana lebih 10 juta etnik itu tinggal.

Turki berkata, layanan China terhadap Uighur ‘keaiban besar untuk kemanusiaan’ dan menggesanya menutup kem tahanan terhadap etnik itu, kemungkinan kecaman paling keras setakat ini dari sebuah negara Islam.


Gambar media sosial kerajaan pada April 2017 menunjukkan tahanan Islam Uighur dalam sebuah kem pendidikan semula di wilayah Hotan. -Foto Agensi

Minggu lalu, aktivis hak asasi menggesa negara Eropah dan Islam menjadi peneraju dalam siasatan PBB terhadap tindakan China dan ‘indoktrin paksa’ ke atas sejuta Uighur, yang bercakap bahasa Turki dan penduduk Islam lain di wilayah Xinjiang.

Dunia Islam jelas berdiam diri terhadap isu Uighur, kemungkinan mengelak tentangan diplomatik atau ekonomi daripada China.

Nasib Uighur China diikuti rapat di Turki berikutan perkongsian bahasa, budaya dan agama etnik berkenaan.

Dalam kenyataan Sabtu lalu, Turki tidak mengatakan bagaimana ia mendapat tahu Heyit meninggal dunia, namun berkata, ‘tragedi memaksa reaksi pendapat awam Turki terhadap keseriusan pelanggaran hak asasi manusia’ di Xinjiang.

Namun China Radio International (CRI) yang dikawal kerajaan mendedahkan rakaman video 26 saat menerusi saluran Turkinya kelmarin.

“Nama saya Abdurehim Heyit. Hari ini ialah 10 Februari 2019. Saya dalam proses disasat kerana melanggar undang-undang negara,” kata lelaki dalam video itu dalam bahasa Uighur.

Memakai baju sejuk berwarna hitam dan putih beliau berkata, dirinya dalam keadaan sihat dan tidak pernah didera, menurut sari kata.

AFP tidak dapat mengesahkan kesahihan video atau bila ia diambil. -AFP

419 dibaca
Berita Harian X