Ahad, 10 Februari 2019 | 8:04am
Putera Philip. - Foto EPA

Putera Philip serah lesen memandu selepas nahas

LONDON: Suami Ratu Elizabeth menyerahkan lesen memandunya secara sukarela selepas terbabit dalam kemalangan bulan lalu, kata Istana Buckingham.

Putera Philip, 97, tidak mengalami sebarang kecederaan dalam nahas 17 Januari lalu apabila Land Rover yang dipandunya terbalik selepas bertembung dengan sebuah kereta berhampiran kediaman diraja di Sandringham di timur England.

“Selepas mempertimbangkan dengan baik, Duke of Edinburgh mengambil keputusan menyerahkan secara sukarela lesen memandunya,” kata istana dalam kenyataan.

Seorang lagi pemandu, wanita berusia 28 tahun cedera di lutut dan penumpang wanita berusia 45 tahun yang juga mempunyai bayi sembilan bulan dalam kenderaan itu, mengalami patah pergelangan tangan.

Philip, yang menyatakan cahaya matahari menjejaskan penglihatannya, juga diberi amaran oleh polis kerana memandu tanpa memakai tali pinggang keselamatan dua hari selepas nahas itu.

Polis Norfolk mengesahkan Philip menyerahkan lesennya secara sukarela kepada pegawai semalam.

Britain tidak menetapkan undang-undang mengehadkan umur untuk berhenti memandu tetapi pemandu berusia lebih 70 tahun perlu membaharui lesen mereka setiap tiga tahun. — Reuters

1026 dibaca
Berita Harian X