Sabtu, 9 Februari 2019 | 10:21pm
Perpindahan 42 syarikat membabitkan kira-kira 2,000 kakitangan dan pelaburan bernilai 291 juta euro (RM1.34 bilion). -Foto Agensi

42 syarikat pindah operasi ke Netherlands susulan Brexit

THE HAGUE: Lebih 40 syarikat sudah berpindah tahun lalu atau bakal memindahkan operasi mereka dari Britain ke Netherlands sebagai maklum balas terhadap ketidaktentuan Brexit, lapor pihak berkuasa Belanda hari ini.

Perpindahan 42 syarikat itu membabitkan kira-kira 2,000 kakitangan dan pelaburan bernilai 291 juta euro (RM1.34 bilion), kata agensi pelaburan asing Belanda dalam satu kenyataan.

Kebanyakan syarikat berasal dari Britain, namun sesetengahnya dari Asia atau Amerika Syarikat (AS).

Menteri Ekonomi Netherlands, Eric Wiebes berkata, kerajaan mengalu-alukan pelaburan itu, menambah ‘berikutan peningkatan ketidaktentuan antarabangsa melingkari Brexit dan penukaran dasar perdagangan global, kepentingan persekitaran perniagaan baik Belanda untuk semua terus meningkat.’

Agensi itu berkata, senarai itu termasuk bank pelaburan Jepun, Norinchukin, syarikat media TVT Media, penyedia perkhidmatan kewangan MarketAxess and Azimo serta penginsurans maritim, UK P&I.

Sesetengah syarikat juga meninjau untuk memindahkan operasi di tempat lain dalam negara Kesatuan Eropah (EU) termasuk Jerman, Perancis dan Ireland, katanya.

Sebagai tambahan kepada pemindahan oleh syarikat korporat, Agensi Perubatan Eropah (EMA), sebuah agensi EU, berkata, ia akan berpindah dari London ke Amsterdam oleh kerana ia tidak boleh kekal di sebuah negara bukan EU mengikut undang-undang.

Britain akan keluar daripada EU menjelang 29 Mac ini dan ketidaktentuan berhubung sebarang bentuk perjanjian dengan Brussels pada tempoh itu mencetuskan perasaan tidak senang dalam kalangan komuniti perniagaan dengan banyak syarikat multinasional negara itu sudah mengumumkan berpindah ke negara lain dalam EU. -AFP

431 dibaca
Berita Harian X