Sabtu, 9 Februari 2019 | 10:31am
Remy Heitz pada sidang media di Paris, baru-baru ini. Foto AFP

Wanita didakwa bakar bangunan di Paris

PARIS: Seorang wanita yang memiliki sejarah masalah psikiatri didakwa menyebabkan kebakaran di sebuah bangunan apartmen di sini, yang mengakibatkan 10 mangsa terkorban.

Menurut pendakwa raya, suspek yang ditempatkan di kemudahan psikiatri milik polis sejak ditahan, didakwa semalam, atas tuduhan melakukan kebakaran yang mengakibatkan kematian.

Insiden pada Selasa lalu membabitkan bahagian atas sebuah bangunan apartmen di daerah ke-16 di Paris, dianggap terburuk sejak 2005.

Kejadian itu turut mengakibatkan 30 penghuni apartmen terbabit cedera.

Sementara itu, suspek berusia dalam lingkungan 40-an, yang turut tinggal di bangunan berkenaan sudah banyak kali menjalani rawatan di kemudahan psikiatri di Paris, sejak beberapa tahun lalu.

“Enam hari sebelum kejadian kebakaran itu, beliau dibenarkan keluar dari klinik selepas doktor mendapati beliau sihat susulan rawatan selama 12 hari,” kata pendakwa raya, Remy Heitz dalam satu sidang media, awal minggu ini. - AFP

106 dibaca
Berita Harian X