Sabtu, 9 Februari 2019 | 9:23am
Kerajaan Sepanyol lebih 1,700 kakitangan awam baharu menjelang Brexit pada Mac ini. Foto hiasan

Sepanyol upah 1,735 kakitangan awam menjelang Brexit

MADRID: Kerajaan Sepanyol semalam, meluluskan satu dekri bagi mengupah 1,735 kakitangan awam baharu, bagi mengendalikan pelbagai isu menjelang pelaksanaan Brexit, terutama membabitkan kawasan sempadan dan kastam.

Majoriti kakitangan baharu itu akan dilantik sebelum 29 Mac ini, tanpa mengambil kira sama ada Kerajaan Britain berjaya mencapai persetujuan dengan blok berkenaan untuk keluar daripada Kesatuan Eropah atau sebaliknya.

“Ketika ini, pihak pentadbiran sudah mengenal pasti beberapa cara bagi menangani pelbagai isu selepas Britain keluar dari Kesatuan Eropah, tetapi kami perlu memperkukuh tahap kesediaan kakitangan awam dalam sektor tertentu,” kata kerajaan dalam satu kenyataan selepas mesyuarat mingguannya.

Sepanyol menyasar untuk mempertingkatkan jumlah kakitangan di lapangan terbang dan pelabuhan, selain memperkukuh kawalan fitosanitasi mengenai import serta eksport.

Ia juga bertujuan memudahkan pemberian bantuan kepada kira-kira 300,000 warga Britain yang menetap di negara itu, kebanyakannya adalah pesara.

Selain itu, kira-kira 33,000 penduduk di Gibraltar, iaitu wilayah milik Britain di selatan Sepanyol.

Dalam proses pungutan suara Britain pada 2016, rakyat Gibraltar memilih untuk kekal di dalam Kesatuan Eropah, tetapi mereka dijangka mengikut jejak langkah negara itu pada Mac ini. - Reuters

204 dibaca
Berita Harian X