Selasa, 22 Januari 2019 | 9:40pm
PESAWAT jenis Tu-22M3 dilaporkan melakukan pendaratan sukar akibat ribut salji selepas menjalani latihan penerbangan. - Foto airliners.net

2 maut, pesawat pengebom Russia terhempas

MOSCOW: Dua kru pesawat pengebom Russia dilaporkan maut manakala dua lagi juruterbangnya cedera selepas terhempas semasa latihan penerbangan, hari ini kata kementerian pertahanan Moscow.

“Pesawat jenis Tu-22M3 dilaporkan melakukan pendaratan sukar akibat ribut salji selepas menjalani latihan penerbangan.

“Dua juruterbangnya sudah dihantar hospital manakala dua kru lain maut dalam insiden itu.

“Semasa kejadian, pesawat terbabit tidak membawa senjata,” kata Agensi TASS yang memetik kementerian pertahanan itu.

Insiden berlaku di wilayah Murmansk di utara Russia dan sumber memberitahu agensi berita Russia bahawa perkhidmatan kecemasan berusaha memadamkan kebakaran di lokasi kejadian.

Pesawat Tu-22M3 adalah pengebom jarak jauh yang mula dibangunkan tahun 1970-an.

Beberapa buah pesawat ini pernah mengambil bahagian dalam kempen memerangi kumpulan militan Daesh di Syria. -AFP

352 dibaca
Berita Harian X