Sabtu, 12 Januari 2019 | 12:34am
Menteri Pertahanan Britain, Gavin Williamson. - Foto AFP

Russia sedia bertindak balas jika kepentingan diancam

MOSCOW: Russia mengecam rancangan Britain membuka pangkalan tentera di Asia Tenggara dan Caribbean dan sedia bertindak balas jika kepentingan atau sekutunya diancam.

Menteri Pertahanan Britain, Gavin Williamson, memberitahu akhbar Sunday Telegraph bulan lalu bahawa London menyediakan rancangan membina dua pangkalan luar baru dalam masa beberapa tahun selepas ia meninggalkan Kesatuan Eropah.

Williamson tidak menyatakan dengan jelas di mana pangkalan itu mungkin dibina tetapi laporan menyatakan pilihan termasuk di Singapura atau Brunei berhampiran Laut China Selatan dan Montserrat atau Guyana di Caribbean.

Jurucakap Kementerian Luar Russia, Maria Zakharova, semalam menyifatkan kenyataan Williamson sebagai mengelirukan dan memberi amaran pelan seumpama itu akan menyebabkan dunia tidak stabil.

“Sudah tentu, Britain seperti negara lain bebas membuat pelan pembinaan tentera.

“Namun kenyataan mengenai keinginan membina pangkalan tentera di negara ketiga tidak produktif, huru-hara dan bersifat provokatif.

“Dalam sebarang langkah yang mengancam keselamatan Russia atau sekutu, kami berhak bertindak balas,” katanya. — Reuters

720 dibaca
Berita Harian X