Selasa, 20 November 2018 | 10:01pm
BEKAS ketua kumpulan gengster Denmark, Nedim Yasar. - Foto Reuters

Bekas ketua kumpulan gengster mati ditembak

COPENHAGEN: Bekas ketua kumpulan gengster Denmark, Nedim Yasar disahkan meninggal dunia hari ini, akibat ditembak selepas menghadiri majlis pelancaran bukunya, di sini.

Buku tulisannya bertajuk ‘Roots’, yang berkisar mengenai kisahnya menarik diri daripada kegiatan jenayah diterbitkan hari ini.

Nedim, 31, kini bertugas sebagai penyampai radio selepas meninggalkan Los Guerreros, gengster yang terbabit dalam penjualan dadah di Copenhagen.

Sekurang-kurangnya dua tembakan dilepaskan ke arah Nedim, ketika beliau meninggalkan majlis pelancaran bukunya, semalam.

Bagaimanapun, suspek berjaya melarikan diri dari lokasi kejadian.

Menteri Kehakiman Denmark, Soren Pape Poulsen yang dipetik akhbar Politiken berkata, Nedim yang dilahirkan di Turki, berhijrah ke negara itu bersama keluarganya, ketika berusia empat tahun.

“Ia sesuatu yang amat menyedihkan. Saya pernah bertemu dengan Nedim.

“Saya mengenali seorang lelaki yang bersungguh-sungguh mahu mengubah hidupnya dan melakukannya dengan sepenuh hati untuk membantu orang lain.

“Ingatan dan rasa simpati saya kepada keluarga serta rakannya,” kata Poulsen di Twitter.

Menurut agensi berita Ritzau, Nedim mengambil keputusan untuk meninggalkan kumpulannya dan menyertai program pemulihan selepas mengetahui isterinya mengandung.

Malah, beliau juga dilaporkan sering berkongsi pengalaman hidup di dalam rancangan radionya. - Reuters

Berita Harian X