Isnin, 19 November 2018 | 12:47am
MENTERI Luar Turki, Mevlut Cavusoglu.

Turki berang dengan AS, sokong militia

ANKARA: Sokongan Amerika Syarikat (AS) ke atas militia Unit Perlindungan Rakyat (YPG) di Syria adalah satu ‘kesilapan besar’, menurut Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu, hari ini sambil menambah isu terbabit akan mengeruhkan hubungan antara sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Kerajaan Turki berang dengan Washington yang menyokong YPG yang dilihatnya sebagai satu sambungan kepada Parti Pekerja Kurdistan (PKK) diharamkan, yang melancarkan pemberontakan dalam Turki sejak 1984.

Hubungan antara AS-Turki semakin renggang susulan isu dasar AS di Syria, kes seorang paderi di Turki dan permintaan Turki untuk ekstradisi seorang ulama berpangkalan di AS, Fethullah Gulen yang dituduh melancarkan rampasan gagal 2016.

Cavusoglu yang berada di AS untuk lawatan rasmi berkata hubungan tegang antara Washington dan Ankara berpunca daripada sokongan AS ke atas isu YPG dan Gulen.

“Walaupun mengetahui dan mengakui bahawa YPG adalah organisasi yang sama seperti PKK, melihat bekerjasama seperti itu adalah satu kesilapan besar,” kata Cavusoglu, sambil menambah bahawa beliau akan membincangkan hubungan dua hala dengan rakan sejawatannya dari AS iaitu Mike Pompeo, esok.

Menurut agensi berita Anadolu, hari ini Menteri Pertahanan Turki, Hulusi Akar berkata beliau sudah memberitahu Ketua Turus AS, Joseph Dunford bahawa Turki menjangkakan AS akan menghentikan sokongan terhadap YPG secepat mungkin. -Reuters.

Berita Harian X