Isnin, 1 Oktober 2018 | 4:14pm
MAURIZIO Zanfanti

Romeo terkenal Itali maut ketika 'beraksi'

Romeo terkenal Itali maut ketika ‘beraksi’

ROME: Mungkin tidak ramai boleh menandingi 'Romeo dan playboy' paling terkenal Itali, Maurizio Zanfanti yang meniduri lebih 6,000 wanita selepas terkenal sebagai promoter sebuah kelab malam sejak 1970-an.

Bagaimanapun, tentu tidak ramai juga mahu mengikuti nasibnya yang menghembuskan nafas terakhir di atas ranjang, dua hari lalu, ketika ‘beraksi’.

Zanfanti yang berusia 63 tahun meninggal dunia ketika sedang berasmara dengan seorang gadis berusia 23 tahun.

Portal Mail Online melaporkan, dia sedang 'menghiburkan' wanita yang juga pelancong asing itu di rumahnya apabila diserang angin ahmar.

Wanita terbabit yang terkejut dengan keadaan itu menelefon paramedik tetapi Zanfanti sudah tidak bernyawa.

Media tempatan pula menyifatkan pengakhiran seperti itulah yang diidamkan Zanfanti yang mula bekerja pada usia 17 tahun di sebuah kelab malam bernama 'Blow Up'.

Tugasnya ketika itu ialah berbual dengan gadis dan wanita muda serta memujuk mereka masuk ke kelab berkenaan.

Zanfanti suka bercakap besar dengan berkata bahawa ketika masa mudanya dia meniduri 200 wanita dalam satu musim panas.

Pada musim sejuk pula, Zanfanti menghabiskan masa di Scandinavia sebagai pekerja agensi pelancongan.

Dia menjadi begitu terkenal hingga ada bekas kekasih memasang sebuah patung lilinnya di sebuah bandar Sweden.

Pada 1986, akhbar Itali, L’Espresso menamakan Zanfanti sebagai kekasih paling berjaya Itali.

Ketika wawancara dengan akhbar Jerman, BILD, pada 2014, dia mengumumkan persaraan dan berkata: "Pada usia 59 tahun, saya sudah terlalu tua untuk melakukannya.'

Apa yang jelas, itu tidak menghalangnya untuk terus mencuba. - Agensi

Berita Harian X