Sabtu, 1 September 2018 | 4:09pm
API dan asap menjulang di atas kilang. - Foto Reuters
LETUPAN dalam kebakaran di sebuah kilang penapis minyak di selatan Jerman mencederakan sekurang-kurangnya lapan orang. - Foto AFP

8 cedera, kilang penapis minyak Jerman meletup

BERLIN: Satu kebakaran meletus hari ini di sebuah kilang penapis minyak di selatan Jerman susulan letupan, mencederakan sekurang-kurangnya lapan orang dan memaksa pihak berkuasa memindahkan hampir 2,000 penduduk tempatan, kata polis.

Letupan berlaku kira-kira jam 5.30 pagi waktu tempatan (0330 GMT) di sebuah kilang milik kumpulan Bayeroil berhampiran bandar Bavaria di Ingolstadt, di tebing sungai Danube.

Penyiar awam, Bayerischer Rundfunk berkata, gegaran akibat letupan itu dirasai sejauh beberapa kilometer dari situ.

Gambar di tempat kejadian menunjukkan api dan asap menjulang di atas kilang itu ketika awal pagi.

Tiga daripada mangsa mengalami kecederaan sederhana atau serius, kata polis dalam satu kenyataan.

Kira-kira 1,800 penduduk di bandar berhampiran Vohburg dan Irsching dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.

“Kerja memadam api sedang dijalankan,” kata polis menambah ada risiko lebih banyak letupan berlaku. Kira-kira 200 anggota bomba berada di tempat kejadian.

Perkhidmatan kecemasan merayu kepada penduduk dalam lingkungan 20 kilometer supaya menutup pintu dan tingkap kerana asap.

Bayernoil memiliki 790 pekerja di dua kilang di Bavaria dan menghasilkan petrol, diesel dan memanaskan minyak serta bitumen dengan kapasiti memproses minyak mentah sebanyak 10.3 juta tan setahun, menurut laman webnya. - AFP

Berita Harian X