Sabtu, 21 Julai 2018 | 11:28am

9 cedera, penyerang guna pisau ditahan di Jerman

BERLIN: Sembilan orang tercedera selepas seorang lelaki bersenjatakan pisau mengamuk di dalam sebuah bas di Jerman, kata pihak berkuasa.

Ketua pendakwa, Ulla Hingst berkata, semalam seorang lelaki menyerang penumpang di dalam sebuah bas yang penuh sesak menuju ke Travemuende, sebuah destinasi pantai popular berhampiran bandar Luebeck.

Hingst memberitahu akhbar harian BILD, penyerang yang disyaki adalah seorang warga negara Jerman berusia 34 tahun yang berasal dari Iran.

"Kami tidak fikir ia ada kaitan dengan sebarang tindakan radikal politik dalam apa juga bentuk," katanya, sambil menambah suspek setakat ini masih berdiam diri mengenai kejadian itu.

Suspek dijadual akan berdepan pendakwaan hari ini.

Walaupun motifnya belum diketahui, Jerman masih diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga selepas beberapa insiden serangan maut membabitkan pelampau. - AFP

Berita Harian X