Jumaat, 25 Mei 2018 | 7:39am
PUTERA William. - Foto AFP

Putera William lawat Wilayah Palestin, Israel Jun

LONDON: Putera William akan menjadi keluarga kanan diraja pertama Britain membuat lawatan rasmi ke Wilayah Palestin dan Israel, sebagai sebahagian jelajahnya pada Jun ini, umum Istana Kensington hari ini.

William akan memulakan lawatannya ke Jordan pada 24 Jun diikuti ke Tel Aviv keesokannya, kata kediaman rasminya dalam satu kenyataan. Beliau akan melawat Baitulmaqdis pada 26 Jun sebelum ke Ramallah pada 27 Jun.

Kenyataan menyebut, putera raja itu akan menghabiskan tempoh tiga hari ke Baitulmaqdis, Tel Aviv dan Ramallah di Tebing Barat, walaupun istana tidak memberi butiran terperinci di mana beliau akan melawat atau siapa yang akan ditemuinya.

Kunjungan bagi pihak kerajaan British itu diumumkan Mac lalu dan dialu-alukan secara meluas oleh kedua-dua pihak berkuasa Palestin dan Israel.

"Lawatan pewaris kedua takhta diraja itu adalah atas permintaan kerajaan United Kingdom dan dialu-alukan pihak berkuasa Israel, Jordan dan Palestin," kata kenyataan.

Tiada lawatan rasmi sebelum ini oleh anggota keluarga diraja Britain ke Wilayah Palestin.

William juga adalah individu rapat Ratu Elizabeth II untuk membuat lawatan rasmi ke Israel, susulan kunjungan sebelumnya oleh sepupu baginda iaitu Duke of Kent dan Duke of Gloucester.

Jemputan diraja itu disampaikan Presiden Israel, Reuven Rivlin kepada Setiausaha Luar Britain, Boris Johnson ketika lawatan kerja ke Baitulmaqdis pada Mac 2017.

Pejabat Presiden Palestin Mahmoud Abbas berkata, ia adalah kunjungan penting yang diharapkan menyumbang kepada pengukuhan hubungan antara dua penduduk.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata, kunjungan keluarga diraja British itu adalah lawatan bersejarah ke negaranya. -AFP/Reuters

Berita Harian X