Rabu, 2 Ogos 2017 | 10:47am
Putera Philip

Suami Ratu Elizabeth bersara

LONDON: Suami Ratu Elizabeth II, Putera Philip, akhirnya bersara hari ini pada usia 96 tahun selepas sekian lama menjalankan perkhidmatan awam sepanjang berada di sisi isterinya.

Beliau yang menggunakan gelaran Duke of Edinburgh akan menghadiri perarakan Marin Diraja di Istana Buckhingham, yang terakhir daripada 22,219 pembabitan solo dalam acara awam sejak isterinya menaiki takhta pada 1952.

Putera itu menghadiri acara yang tidak terkira dengan Ratu Elizabeth, yang kini berusia 91 tahun, tetapi kedua-duanya semakin mengurangkan pembabitan mereka sejak beberapa tahun ini, menyerahkan tanggungjawab itu kepada kerabat diraja lebih muda.

"Putera Philip berhak mengurangkan aktiviti. Ini ialah lelaki yang selalu mengutamakan negara," menurut laporan akhbar Daily Telegraph dalam ruangan editorial.

Bekas pegawai tentera laut Perang Dunia Kedua itu melakukan 637 lawatan ke luar negara secara bersendirian sejak 65 tahun lalu, menyampaikan hampir 5,500 ucapan dan menjadi penaung, presiden atau anggota lebih 780 persatuan.

Pembabitan terakhirnya hari ini sebagai menghormati latar belakang tenteranya, apabila menghadiri penamat cabaran kebajikan yang menyaksikan anggota Marin Diraja melakukan larian sejauh 2,677 kilometer dalam masa lebih 100 hari untuk menandakan penubuhan unit komando pada 1664.

Philip menjadi ketua unit marin sejak 1953, mengambil alih jawatan itu daripada bapa ratu, Raja George VI, yang meninggal dunia setahun sebelum itu.

Ratu menggambarkan Philip, suaminya sejak hampir 70 tahun lalu, sebagai 'kekuatan dan sokongannya.' - AFP

Berita Harian X