Selasa, 3 Disember 2019 | 10:06am

Kammuri landa Filipina, lapangan terbang, sekolah ditutup

MANILA: Taufan membadai Filipina hari ini, membawa bersama hujan lebat dan menyebabkan perjalanan udara, sekolah dan pejabat kerajaan digantung, dengan kira-kira 200,000 dipindahkan selepas amaran banjir dan tanah runtuh.

Taufan Kammuri, yang ke-20 melanda negara itu tahun ini, agak lemah dan bergerak perlahan ke seluruh bahagian tengah negara berkenaan sepanjang malam, dengan kerosakan kecil dilaporkan di beberapa kawasan.

Ribut itu membawa bersama kelajuan angin mencecah 155 kilometer sejam dan kekuatan sehingga 235 kilometer sejam, kata biro cuaca.

Pihak berkuasa memberi amaran tanah runtuh, lonjakan ribut dan banjir disebabkan angin kencang dan hujan lebat, mendorong pihak berkuasa memindahkan 200,000 penduduk ke tempat selamat di beberapa wilayah.

Tiada laporan mengenai kematian dan kerosakan teruk setakat ini.

Lapangan terbang utama di Manila akan ditutup selama 12 jam bermula 11.00 pagi hingga 11.00 malam waktu tempatan hari ini sebagai langkah berjaga-jaga, walaupun perjalanan udara masih diteruskan di kawasan tidak terjejas di negara itu.

Pejabat kerajaan dan sekolah ditutup di kawasan terjejas dan firma utiliti merayu penduduk bersabar susulan gangguan bekalan yang dijangka berlaku.

Pengawal pantai turut menggantung perjalanan air di kawasan terjejas.

Stesen televisyen tempatan menunjukkan rakaman lapangan terbang di Legazpi dengan kabel, lampu dan panel tergantung dari siling.

Gambar yang disiarkan oleh pengguna media sosial menunjukkan ombak menghempas tempoh pertahanan dan beberapa kerosakan kecil kepada tiang elektrik. — Reuters

TAUFAN membadai Filipina menyebabkan perjalanan udara, sekolah dan pejabat kerajaan digantung, dengan kira-kira 200,000 dipindahkan selepas amaran banjir dan tanah runtuh. - Foto Reuters
Berita Harian X