Ahad, 17 November 2019 | 3:10pm
Seorang lelaki dituduh sengaja memulakan kebakaran hutan di Australia demi melindungi tanaman ganja. - Foto EPA

Lelaki mulakan kebakaran demi lindungi tanaman ganja

SYDNEY: Seorang lelaki dituduh sengaja memulakan kebakaran hutan di Australia demi melindungi tanaman ganja, menyebabkan bencana luar kawalan apabila api semakin marak di sepanjang pantai timur negara itu.

Empat maut dan lebih 300 rumah musnah dalam kebakaran hutan dahsyat yang memusnahkan kawasan lebih sejuta hektar sepanjang pesisir pantai timur dalam masa cuma seminggu.

Polis berkata, lelaki berusia 51 tahun itu dihadapkan ke mahkamah semalam, didakwa dengan sengaja memulakan kebakaran di Ebor di negeri New South Wales dalam cubaan melindungi tanaman ganja yang diusahakannya.

Lelaki itu didakwa mencuba kaedah memadamkan api dengan api, yang digunakan pasukan bomba untuk membersihkan semak yang menyemarakkan kebakaran, tetapi ia segera merebak dan lelaki itu tidak cuba memadamkan api, menurut polis.

Kebakaran di Ebor adalah kira-kira 10,000 hektar dan api masih membara tiga hari kemudian.

Pihak berkuasa percaya beberapa kebakaran di New South Wales dan Queensland dilakukan dengan sengaja, dan merayu penduduk memberikan maklumat yang membawa kepada lebih banyak penangkapan.

Hari ini, ada 130 kebakaran di kedua-dua negeri, sebahagian besarnya sudah pun terjejas akibat kemarau. — AFP

Berita Harian X