Sabtu, 16 November 2019 | 5:33pm
Pemancing, Craig Dickmann berjaya menyelamatkan diri daripada dibaham buaya.

Renjer Australia cucuk mata buaya selamat diri

CAIRNS: Seorang renjer hidupan liar Australia nyaris maut dibaham buaya selepas dia ‘bergusti’ dan mencucuk mata reptilia itu yang cuba mengheretnya ke dalam air.

Channelnewsasia.com melaporkan, Craig Dickmann pergi memancing di kawasan terpencil di Australia Utara semalam, negeri yang diberi jolokan ‘negeri buaya’.

Katanya, semasa dia berganjak dari pantai, tiba-tiba seekor buaya sepanjang 2.8 meter datang dari belakang dan menerkamnya.

“Semasa saya beralih, perkara pertama saya lihat ialah reptilia itu menerkam saya,” katanya memberitahu wartawan di katil hospital di bandar Cairns, Queensland.

Dickman berkata, reptilia itu menerkam pehanya dulu.

“Bunyi cengkaman mulut buaya itu akan menghantui saya sampai bila-bila,” katanya.

Renjer berusia 54 tahun berkata, dia bertindak menumbuk buaya itu yang cuba menariknya ke dalam air.

Tambahnya, dia kemudian mencucuk ibu jari ke mata buaya sambil menyatakan ia adalah satu-satunya kawasan lembut yang ditemui pada kulit haiwan bersifat ‘kalis peluru’ itu. -Agensi.

Berita Harian X