Sabtu, 16 November 2019 | 4:53pm
Anggota bomba NSW cuba mengawal kebakaran dari merebak di Gunung Gospers, di Colo Heights, NSW hari ini. -Foto EPA
Anggota bomba NSW cuba mengawal kebakaran dari merebak di Gunung Gospers, di Colo Heights, NSW hari ini. -Foto EPA

Kemarau burukkan insiden kebakaran belukar di timur, barat Australia

MELBOURNE: Puluhan insiden kebakaran belukar di kawasan meluas di timur dan barat Australia hari ini semakin buruk dengan anggota bomba bergelut membendungnya sebelum cuaca lebih panas dan angin kencang dijangka mencetuskan bahaya beberapa hari akan datang.

Suhu melebihi 40 darjah Celsius diramalkan untuk sebahagian besar Barat Australia esok manakala di sebelah timur negara itu minggu depan dengan keadaan bertambah buruk di New South Wales (NSW) dan Queensland, dua negeri yang sudah terjejas akibat kebakaran belukar malapetaka.

Kebakaran belukar Australia adalah pemandangan biasa dan menjadi ancaman maut namun insiden lebih awal tahun ini ketika musim bunga di selatan sudah meragut beberapa nyawa dan memusnahkan lebih 300 rumah sejak seminggu lalu.

Rumah musnah akibat kebakaran belukar berhampiran Colo Heights, NSW, Australia. -Foto EPA

Keadaan kebakaran teruk itu dijangka berterusan di NSW esok di mana kira-kira 60 belukar dan padang rumput masih terbakar, menurut Perkhidmatan Bomba Luar Bandar negeri itu.

Anggota bomba berusaha membendung kebakaran dengan melakukan pembakaran balik di sekitar Gunung Gospers yang memusnahkan lebih 45,235 hektar kawasan berhampiran pinggir barat laut ibu kota ini, namun masih gagal mengawalnya.

Kebakaran balik adalah pembakaran dilakukan dengan sengaja untuk membersihkan semak kering. Lebih banyak kediaman dijangka musnah dalam kebakaran.

“Walaupun jika kita membawa tambahan 1,000 anggota bomba, kita masih tidak memiliki trak dan anggota mencukupi untuk setiap rumah di NSW,” kata Inspektor bomba NSW, Ben Shepherd kepada Sky News.

Perencat kebakaran merah jambu digugurkan pesawat udara di Gunung Gospers meliputi pokok berhampiran Colo Heights, NSW, Australia. -Foto EPA

Kebanyakan taman negara sepanjang pantai di bahagian tengah hingga utara negeri itu termasuk Blue Mountains, ditutup sehingga notis lanjut oleh kerana bahaya kebakaran berada di tahap amat tinggi hingga teruk, kata Pejabat Alam Sekitar dan Warisan NSW di Twitter.

Polis NSW dalam satu kenyataan berkata, seorag lelaki 51 tahun didakwa kerana sengaja memulakan kebakaran yang kini tidak terkawal di Northern Tablelands negeri itu.

Polis mendakwa, ‘lelaki terbabit memulakan kebakaran sebagai cubaan pembakaran balik untuk melindungi tanaman ganja dan dianggap menerima manfaat daripada tanah terbakar selepas kebakaran, namun tidak cuba membendungnya.’

Di NSW, empat orang maut dan 303 rumah musnah sejak 9 November lalu.

Kebakaran belukar awal musim ini di Australia dijangka lebih panjang dan tidak terkawal oleh kerana kemarau tiga tahun menyebabkan sejumlah besar kawasan di timur dan barat terdedah kepada kebakaran. -Reuters

Berita Harian X