Ahad, 10 November 2019 | 7:47am
Kira-kira 1,500 anggota bomba bergelut memadam lebih 70 kebakaran di seluruh NSW, Australia. -Foto AFP

3 maut, lebih 30 cedera kebakaran hutan di NSW

CANBERRA: Kebakaran hutan yang memusnahkan kawasan pantai timur dilanda kemarau di Australia menyebabkan tiga maut, beberapa lain dikhuatiri hilang sementara lebih 30 orang cedera dan lebih 150 rumah musnah, kata pihak berkuasa semalam.

Kira-kira 1,500 anggota bomba bergelut memadam lebih 70 kebakaran di seluruh negeri paling padat Australia di New South Wales (NSW) dengan paling teruk di bahagian timur laut, di mana api merebak akibat angin kencang, kata Pesuruhjaya Perkhidmatan Bomba Luar Bandar, Shane Fitzsimmons.

Katanya, seorang wanita yang ditemui tidak sedarkan diri bersama kecederaan melecur serius berhampiran Glen Innes Jumaat lalu meninggal dunia di hospital.

Seorang wanita, Chrystal Harwood mengenal pasti mangsa sebagai neneknya, Vivian Chaplain, 69, yang tinggal bersendirian di komuniti kecil Wytaliba apabila ia terbakar.

“Saya adalah individu terakhir bercakap dengannya. Dia berada dalam keadaan panik akibat kebakaran,” kata Harwood kepada saluran televisyen Nine Network mengenai panggilan terakhir neneknya.

Anggota bomba menemui satu lagi mayat semalam dalam sebuah kereta rentung berhampiran Glen Innes, mangsa dalam kebakaran sama manakala mayat ketiga ditemui tengah hari semalam dalam sebuah bangunan terbakar di Johns River, utara Taree, kata kenyataan polis. Mayat terakhir berada beratus-ratus kilometer dari Glenn Innes.

Tambahan tujuh orang dilaporkan hilang dalam lingkungan kebakaran di Glen Innes, kata Fitzsimmons.

Katanya, lebih 30 orang termasuk anggota bomba dirawat akibat melecur manakala seorang pesakit mengalami serangan jantung.

Sekurang-kurangnya 150 rumah musnah sejak Jumaat lalu dan pasukan penilai kerosakan belum sampai ke kawasan terjejas, kata kenyataan Perkhidmatan Bomba Luar Bandar.

Ratusan penduduk terpaksa berpindah di sepanjang 500 kilometer kawasan di timur dari negeri bersempadan Queensland sehingga ke Forster, bandar sejauh 300 kilometer di utara ibu kota ini.

Di Queensland, kira-kira 50 kebakaran hutan marak semalam dengan 6,000 penduduk dipindahkan dari tiga kejiranan di tenggara negeri itu, kata polis. -Agensi

Berita Harian X