Ahad, 3 November 2019 | 8:17am

13 korban letupan bom kereta di sempadan Syria

TAL ABYAD: Sekurang-kurangnya 13 terbunuh akibat letupan bom kereta di bandar sempadan yang ditawan Turki di timur laut Syria semalam, ketika ribuan penduduk Kurdis membantah pencerobohan Turki.

Letupan menggegarkan Tal Abyad, satu daripada beberapa bandar pernah dikuasai Kurdis yang ditawan Turki bulan lalu dalam serangan merentasi sempadan.

Kejadian berlaku di sebalik gencatan senjata minggu lalu untuk menggantung serangan Turki bermula 9 Oktober lalu dan mencetuskan bencana kemanusiaan terbaharu dalam perang selama lapan tahun di Syria.

Sekumpulan lelaki dilihat membawa mayat seorang mangsa yang rentung di belakang trak pikap, ketika seorang wanita berhijab berdiri di tepi jalan.

Kementerian Pertahanan Turki berkata, 13 penduduk awam maut dalam serangan, yang dipersalahkan ke atas pemisah Kurdis.

Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) yang beribu pejabat di Britain, melaporkan 14 pemisah pro-Ankara dan orang awam maut dalam letupan itu.

“Bagi menghalau pemilik sebenar tanah ini dan membawa balik pelarian Syria di Turki ke tanah air mereka di timur laut Syria, tentera Turki dan proksi kini mencetuskan kekacauan di Til Abyad dengan letupan yang mensasarkan penduduk awam.

“Turki bertanggungjawab di atas kematian penduduk awam di wilayah ini,” kata jurucakap Pasukan Pertahanan Syria yang diketuai Kurdis, Mustafa Bali dalam Twitter.

Sementara itu, di bandar raya Qamishli, ribuan penduduk Kurdis Syria berarak di jalan raya membantah apa yang dilihat sebagai sebagai pencerobohan Turki. — AFP

Berita Harian X