Rabu, 30 Oktober 2019 | 2:11pm

Ratusan beruang koala dikhuatiri mati terbakar

SYDNEY : Ratusan beruang koala dikhuatiri mati terbakar dalam kebakaran hutan di pantai timur Australia, kata pihak berkuasa hidupan liar hari ini.

Satu kebakaran hutan dipercayai berpunca daripada panahan petir Sabtu lalu, kira-kira 400 kilometer di utara Sydney sehingga kini sudah memusnahkan kawasan melebihi 2,000 hektar dengan pihak berkuasa berusaha mengawal ia daripada terus merebak.

Penyelamat hidupan liar di utara New South Wales kini berdepan kebimbangan ia akan memusnahkan populasi spesies beruang koala jarang ditemui yang tinggal di lokasi kebakaran.

“Semua beruang koala ini amat penting kerana genetik haiwan itu yang unik,” kata Presiden Hospital Koala Port Macquarie.

Beliau bimbang ratusan haiwan berkenaan maut dalam kebakaran itu.

“Ia adalah satu tragedi kerana populasi beruang koala ini amat unik,” katanya.

Penerokaan tanah dan pembangunan sejak bertahun lalu memusnahkan habitat asal koala, menyebabkan kurang jalinan perhubungan antara populasi, peningkatan pembiakan dalaman dan pengurangan kepelbagaian genetik haiwan terbabit.

Lebih daripada 70 kebakaran terus merebak merentasi New South Wales yang turut berdepan masalah kemarau ketika ini.

Pihak berkuasa berkata, keadaan semakin dapat dikawal berhampiran Port Macquarie dengan penggunaan lori tangki air untuk memadamkan api.

“Kebakaran akan terus berlaku sehingga waktu malam namun terdapat sumber yang siginifikan untuk membantu melindungi kawasan sekitar,” kata Jabatan Bomba Luar Bandar New South Wales dalam perkembangan terkini mereka. - AFP

Berita Harian X