Jumaat, 25 Oktober 2019 | 6:50pm
Seorang lelaki berjalan dengan anaknya berhampiran rumah kesan banjir akibat Taufan Hagibis, di daerah Yanagawamachi, wilayah Fukushimar. - Foto REUTERS

Ribuan penduduk diarah berpindah hujan lebat landa Jepun

TOKYO: Ribuan penduduk dinasihatkan berpindah hari ini, ketika Jepun dilanda hujan lebat, dua minggu selepas taufan melanda seluruh negara matahari terbit itu.

Agensi Meteorologi Jepun (JMA) mengeluarkan amaran hujan lebat, tanah runtuh dan banjir di beberapa kawasan berair termasuk di timur dan tengah Jepun.

“Kami melihat hujan lebat di kawasan tengah sekitar daerah Chiba,” kata JMA menerusi laman Twitter, merujuk kepada wilayah timur Tokyo.

“Semua risiko bencana semakin meningkat, sila berwaspada dengan tanah runtuh, air sungai naik dan banjir memandangkan hujan masih berterusan,” kata JMA

Penyiar awam NHK melaporkan, arahan berpindah tidak mandatori dikeluarkan kepada lebih 4,000 penduduk di Chiba, dan puluhan ribu penduduk lain turut dinasihatkan berpindah di wilayah lain.

Rakaman video menunjukkan kebanyakan kenderaan terpaksa meredah air di jalan raya yang kebanyakannya ditenggelami air, sungai kian melimpah seolah-olah banjir bakal berlaku.

Daerah Chiba mengumumkan rancangan untuk mengeluarkan air daripada empangan yang sudah mencecah paras maksimum hari ini, meningkatkan kebimbangan limpahan air sungai menyebabkan banjir di kawasan hilir yang padat penduduk.

Dua minggu lalu, Jepun dilanda taufan Hagibis, dengan jumlah kematian akibat taufan ganas itu kini berjumlah lebih 80 orang. - AFP

Berita Harian X