Isnin, 21 Oktober 2019 | 12:38pm
Konvoi kenderaan tentera AS dilihat di sebatang jalan di bandar Tal Tamr semalam selepas berundur dari pangkalan mereka di utara Syria. -Foto AFP

Pasukan Kurdis dakwa sudah berundur dari bandar sempadan Syria

BEIRUT/ANKARA: Pasukan Demokratik Syria (SDF) diketuai Kurdis berkata semalam, mereka sudah berundur dari bandar sempadan Ras al-Ain mengikut perjanjian gencatan senjata dibantu Amerika Syarikat (AS) namun jurucakap pemberontak Syria disokong Turki berkata, pengunduran itu belum selesai.

Ras al-Ain adalah antara dua bandar di sempadan Turki-Syria yang menjadi sasaran utama tentangan Ankara untuk mengusir pejuang Kurdis dan mewujudkan satu ‘zon selamat’ dalam Syria sepanjang lebih 30 kilometer.

Turki menghentikan tentangan malam Khamis lalu selama lima hari mengikut perjanjian dipersetujui antara Presiden Recep Tayyip Erdogan dan Naib Presiden AS Mike Pence.

Erdogan memberi amaran, Turki akan meneruskan serangan apabila tempoh gencatan senjata berakhir Selasa jika SDF enggan berundur dari kawasan zon selamat itu.

“Tiada lagi pejuang kami dalam bandar,” kata jurucakap SDF, Kino Gabriel merujuk Ras al-Ain. Ulasannya dibuat selepas Ankara berkata, puluhan kenderaan masuk dan keluar dari Ras al-Ain, sebahagian besarnya dikepung tentera Turki dan sekutu pemberontak Syria pada hujung minggu.


Seorang pejuang SDF berkawal ketika kenderaan tentera AS keluar dari pangkalannya di bandar utara Syria di Tal Tamr semalam. -Foto AFP

Jurucakap pemberontak, Mejar Youssef Hamoud memberitahu Reuters, SDF belum selesai berundur dari Ras al-Ain.

Turki melancarkan tentangan selepas Presiden Donald Trump mengumumkan mengundurkan tentera AS dari timur laut Syria. Tindakan itu dikecam di Washington dan tempat lain sebagai pengkhianatan terhadap sekutu Kurdis yang berjuang selama bertahun bersama tentera AS memerangi Daesh.

Bagaimanapun, Trump masih bergantung kepada rancangan baharu tentera untuk mengekalkan kira-kira 200 askarnya di timur Syria berhampiran sempadan Iraq, lapor akhbar The New York Times lewat semalam.

Ankara berusaha mewujudkan zon sebagai penampan daripada YPG, komponen SDF, dianggap kumpulan pengganas kerana hubungannya dengan pemberontak Kurdis di tenggara Turki.

Pengunduran tentera AS mewujudkan kekosongan yang turut diintai Russia, sekutu berkuasa Presiden Syria, Bashar al-Assad untuk mengisinya. Minggu lalu, tentera Syria dan Russia, dijemput pihak berkuasa Kurdis memasuki dua bandar sempadan di Manbij dan Kobani yang dikosongkan tentera AS. -Reuters

Berita Harian X