Jumaat, 18 Oktober 2019 | 11:16am
Maharaja Naruhito dan Maharani Masako ketika menghadiri festival penanaman pokok di Owariasahi, wilayah Aichi pada Jun lalu. Foto AFP

Upacara pertabalan Maharaja Naruhito minggu depan

TOKYO: Maharaja Naruhito secara rasmi akan ditabalkan menduduki takhta diraja Jepun dalam satu majlis keagamaan minggu depan, namun upacara itu bakal dibayangi kejadian taufan Hagibis.

Naruhito dilantik sebagai Maharaja Jepun pada 1 Mei lalu, iaitu sehari selepas bapanya, Akihito turun takhta, iaitu yang pertama dalam tempoh 200 tahun.

Namun, proses peralihan itu bakal disempurnakan pada Selasa ini, dalam beberapa upacara yang dijangka dihadiri pembesar asing dari hampir 200 negara.

Upacara itu berlangsung kira-kira seminggu selepas taufan Hagibis melanda Jepun, yang mengorbankan hampir 80 mangsa, selain kemusnahan lain.

Susulan itu, kerajaan menangguhkan salah satu acara penting dalam majlis berkenaan, iaitu perarakan menaiki kereta, bertujuan memperkenalkan pasangan diraja kepada orang ramai.

Acara lain akan diteruskan dan ia bakal bermula dengan upacara keagamaan yang berlangsung secara tertutup.

Beberapa jam kemudian, Naruhito dan isterinya, Maharani Masako akan menghadiri upacara utama di Bilik Pine di Istana Imperial, bagi mengisytiharkan bermulanya era pemerintahan beliau dalam takhta diraja Jepun. - AFP

Berita Harian X