Isnin, 14 Oktober 2019 | 8:17pm
Sulli ditemui mati di kediamannya hari ini. - Foto AFP

Bintang K-pop Sulli ditemui mati di kediamannya

SEOUL: Bintang K-pop terkenal, Sulli yang sekian lama menjadi sasaran komen melampau dalam talian ditemui mati di kediamannya hari ini, kata polis Korea Selatan.

Mayat Sulli, yang juga bekas anggota kumpulan K-pop terkenal f(x), ditemui pengurusnya di kediamannya yang terletak di pinggir Seoul.

Polis dalam satu kenyataan berkata, artis berusia 25 tahun itu mengalami tekanan perasaan yang teruk.

Bagaimanapun punca kematian sebenar Sulli masih disiasat.

Sulli atau nama sebenarnya Choi Jin-ri turut dikenali kerana lantang memperjuangkan hak asasi wanita selepas sekian lama menjadi mangsa buli dan gangguan dalam talian.


Mayat Sulli ditemui pengurusnya di kediamannya yang terletak di pinggir Seoul. - Foto AFP

Beliau mula menyertai kumpulan f(x) pada 2009 dan menjadi antara artis K-pop wanita ternama dunia.

Sulli berundur seketika dari dunia seni pada 2014 selepas bergelut dengan masalah buli-siber dan meninggalkan kumpulan itu setahun kemudian untuk menceburi bidang lakonan.

Beliau cukup aktif di media sosial dan baru-baru ini mengendalikan siri TV di mana selebriti membincangkan pengalaman mereka berdepan dengan gangguan dan buli dalam talian.

Kematian Sulli amat mengejutkan komuniti penggemar muzik K-pop di seluruh dunia. - AFP

Berita Harian X