Rabu, 9 Oktober 2019 | 11:00pm
RATUSAN pelajar mengadakan bantahan di seluruh Bangladesh hari ini, mendesak agar kumpulan politik diharamkan daripada kampus.

Ratusan desak kumpulan politik diharamkan di universiti

DHAKA: Ratusan pelajar mengadakan bantahan di seluruh Bangladesh hari ini, mendesak agar kumpulan politik diharamkan daripada kampus selepas kematian seorang pelajar yang dibunuh oleh aktivis daripada parti pemerintah pimpinan Perdana Menteri, Sheikh Hasina.

Bantahan itu bermula di Dhaka selepas pembunuhan pelajar tahun dua, Abrar Fahad, 21, pada Ahad lalu, di asrama Universiti Teknologi Kejuruteraan dan Teknologi, Bangladesh (BUET).

Abrar dikatakan menulis di laman sosial Facebook mengkritik perjanjian air kerajaan negara itu dengan India.

Hasina ketika menjawab bantahan itu berkata, kerajaan tidak akan campur tangan jika ada universiti memutuskan untuk mengharamkan kumpulan politik.

Katanya, arahan sudah dikeluarkan agar sayap parti pelajar mengusir sesiapa saja yang terbabit dalam pembunuhan ‘kejam’ itu.

“Saya dapat merasakan kesedihan ibu bapa yang kehilangan anak,” kata Hasina dalam sidang akhbar di kediaman rasminya.

Susulan itu, bantahan merebak ke seluruh negara hari ini, ramai guru yang menyertai pelajar, berarak sambil melaungkan slogan menuntut keadilan.

Menurut polis, 13 pemimpin Liga Chhatra, sayap pelajar, parti Liga Awami Bangladesh, pimpinan Hasina, selepas kawan dan keluarga Abrar menuduh anggota sayap pelajar itu memukul dan membunuhnya.

“Anak saya tidak bersalah. Beliau mempunyai pendapat sendiri. Mereka memukulnya selama enam jam dan membunuhnya,” kata bapa Abrar, Barkat Ullah.

Jenazah Abrar ditemui di kawasan tangga asrama universiti pada pagi Isnin. Hasil bedah siasat menunjukkan, dia dipukul dengan objek tumpul dan terdapat kesan lebam di tangan, kaki serta belakang tubuhnya. - Reuters

Berita Harian X