Selasa, 24 September 2019 | 8:14am
PRESIDEN Donald Trump. - Foto Reuters

Trump tunjuk minat cara New Zealand kawal senjata

WELLINGTON: Presiden Donald Trump ‘mendengar dengan penuh minat’ mengenai pembaharuan senjata yang diperkenalkan New Zealand selepas kes tembakan di masjid di Christchurch, kata Perdana Menteri Jacinda Ardern, hari ini.

Tindakan New Zealand mengawal penggunaan senjata mendapat pujian global, terutama di Amerika Syarikat, yang menyaksikan ahli perundangan menyokong langkah itu dan aktivis berjuang menangani keganasan senjata api di sebalik dua kejadian tembakan berturut-turut di Texas dan Ohio bulan lalu.

Ardern, 39, bertemu Trump, 73, ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York, pertemuan rasmi pertama kedua-dua pemimpin itu.

Bercakap kepada wartawan selepas pertemuan itu, Ardern berkata skim pembelian semula senjata dilancarkan New Zealand dan proses yang dilaluinya menjadi tumpuan utama mesyuarat 25 minit itu, selain perdagangan, pelancongan dan apa yang berlaku di Christchurch.

“Ia perbualan mengenai skim pembelian semula senjata dan usaha dilakukan untuk membasmi senjata ala tentera, separuh automatik dan raifal.

“Saya nampak minat beliau,” kata Ardern dalam video disiarkan anggota media yang menyertai rombongan itu.

Katanya, memang jelas mereka dapat bertindak segera dan sebulat suara dan menonjol di mata dunia.

“Ia kerana kita mendapat persetujuan sebulat suara dalam kalangan anggota Parlimen.

“Saya rasa ia mencetuskan minat orang lain,” kata Ardern.

New Zealand memperoleh sokongan hampir sebulat suara di Parlimen apabila meluluskan undang-undang mengharamkan senjata separuh automatik ala tentera dalam pusingan pertama pembaharuan dalam masa beberapa minggu selepas tragedi di Christchurch oleh pengganas kulit putih, yang mengorbankan 51 jemaah. — Reuters

Berita Harian X